PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menambah dua jam lagi slot program TV Pendidikan bermula esok.
Menterinya, Dr. Radzi Jidin berkata, dua jam tambahan itu adalah slot program TV Pendidikan khusus untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 menerusi DidikTV di saluran NTV7.
Beliau berkata, tambahan slot siaran itu menjadikan waktu siaran yang disediakan KPM adalah selama 11 jam sehari berbanding sembilan jam sebelum ini.
“Slot tambahan selama dua jam itu akan ditayangkan pada hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 3 hingga 5 petang dan lima jam pada hari Sabtu dan Ahad (9 pagi hingga 12 tengah hari dan 3 hingga 5 petang).
“Sebelum ini, saya pernah menyatakan bahawa KPM akan terus memperkasakan saluran TV Pendidikan dengan pendekatan yang bersesuaian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Katanya, KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik bagi memudahkan murid dan pelajar seluruh negara.
Sementara itu, KPM dalam kenyataan akhbar berkata, slot tambahan itu akan memberi fokus kepada kandungan pendidikan bagi membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 membuat persediaan peperiksaan yang akan bermula 22 Februari depan.
Menurutnya, bermula esok, siaran TV Pendidikan sebanyak 11 jam setiap hari yang disiarkan di saluran TV Okey, Astro Tutor TV dan DidikTV@NTV7. – K! ONLINE