MADRID – Presiden Atletico Madrid, Enrique Cerezo mengakui pasukannya cukup bertuah memiliki penyerang yang dianggap terbaik di Eropah ketika ini, Luis Suarez selepas menyaksikan anak-anak buahnya mudah menewaskan Valencia 3-1 pada aksi La Liga awal pagi semalam.
Pada aksi itu, Suarez yang berusia 34 tahun telah meledak satu gol dan jaringan ke-12 peribadinya pada saingan liga musim ini sekali gus memacu skuad The Rojiblancos kekal di puncak liga.
Kata Cerezo, kehadiran Suarez memberi keyakinan tambahan buat barisan pemain dalam usaha membantu skuad kendalian Diego Simeone memburu gelaran liga buat kali pertama sejak musim 2014.
“Kami sangat teruja dengan impak yang diberikan Suarez dan tidak keterlaluan untuk saya katakan dia adalah penyerang terbaik di Eropah sejak beberapa tahun lepas.
“Malah, dia juga dibantu pemain muda meningkat naik, Joao Felix dan saya harap gandingan mereka berdua boleh membantu kami menamatkan kemarau kejuaraan liga,” katanya.
Sementara itu, Simeone lebih berminat untuk memuji impak Felix yang turut berjaya meledak satu gol selain mencipta jaringan buat Suarez pada aksi tersebut.
“Saya sangat gembira dengan mentaliti yang ditunjukkan oleh Felix. Walaupun dia disisihkan sebelum ini ekoran masalah prestasi tetapi dia tidak pernah merungut dan saya percaya sikap tersebut akan menjadikannya lebih matang,” kata Simeone. – AGENSI