PASUKAN Team Secret dari Malaysia tidak panik dan bersedia dengan segala kemungkinan selepas tiga peserta pertandingan akhir disahkan positif Covid-19 hingga menyebabkan Kejohanan Global PUBG Mobile (PMGC) yang sepatutnya berlangsung di Arena Coca-Cola terpaksa dibatalkan.
Kejohanan yang diadakan bermula 21 hingga 24 Januari di Dubai, Emiriyah Arab Saudi (UAE) dengan melibatkan 16 pasukan dari seluruh dunia itu bersaing merebut hadiah terkumpul berjumlah AS$2 juta (RM8.09 juta).
Bagaimanapun, kejohanan tidak dapat diadakan secara langsung di Arena Coca Cola dan semua pemain hanya akan beraksi secara berasingan terutama di penginapan masing-masing.
Pada awalnya, kejohanan tersebut dapat berlangsung sekali, namun berdepan masalah rangkaian internet tidak stabil pada hari kedua.
Pengurus pasukan Team Secret, Partibhan Petchayappen berkata, pihaknya tidak terkejut dengan berita itu kerana mereka sudah melakukan persiapan cukup rapi sebelum diterbangkan ke Dubai.
Jelasnya, pihaknya faham dengan situasi yang dihadapi pihak penganjur dan mereka akui ini adalah cabaran yang perlu dilalui oleh setiap pemain ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.
“Isu Covid-19 ini kita sudah jangka dan kita sudah bersiap sedia ketika di Malaysia lagi. Kita faham mengenai pandemik ini sebab itu pemain sentiasa berjaga-jaga. Ketika kami di sini, kami sentiasa berada di dalam bilik untuk memastikan pemain semua dalam keadaan sihat.
“Pihak penganjur juga sentiasa menjaga dengan baik semua pemain agar tiada berlaku penularan seterusnya memastikan saingan ini dapat berjalan dengan lancar.
“Meskipun terpaksa bermain di dalam bilik, ia adalah cabaran yang kami terpaksa lalui di pentas final. Sudah pasti bukan sahaja kami berdepan masalah ini malah pasukan-pasukan lain juga merasai perkara sama.
“Beraksi dalam arena merupakan situasi berbeza kerana perasaan pemain bermain di pentas tersebut bersama pemain yang lain memberikan mereka lebih semangat. Bagi kami, Team Secret lebih gembira jika kembali beraksi di Arena Coca-Cola.
“Secara keseluruhan, saya berterima kasih kepada pihak penganjur kerana mereka sanggup membuat keputusan untuk membatalkan perlawanan itu di arena tersebut kerana ingin menjaga keselamatan pemain. Ini merupakan satu keputusan yang wajar diberi pujian,” katanya kepada Kosmo! ketika sesi sidang video semalam.
Ketika ditanya mengenai sasaran dan impian pasukan Team Secret, Petchayappen atau dikenali On the Go memberitahu, mereka memasang impian untuk bergelar juara sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
“Sudah pasti impian kami adalah ingin bergelar juara keseluruhan di pentas dunia ini. Sebelum ini kita lihat pasukan Malaysia mara ke final PUBG SEA dan kita belum muncul juara di peringkat antarabangsa.
“Jadi sasaran kita adalah ingin muncul juara dan harap-harap impian kami menjadi kenyataan untuk mewakili Malaysia muncul juara di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Dalam pada itu, Petchayappen juga tidak memandang mudah keupayaan 15 pasukan yang bertanding dan yakin semua peserta mempunyai kelebihan masing-masing yang mampu menggugat impian mereka untuk muncul juara.
“Tiada satu pasukan dalam saingan ini dianggap remeh. Bagi kami setiap pasukan yang layak beraksi dalam perlawanan ini merupakan peserta terbaik dunia.
“Soal berjumpa awal atau perlu dielakkan pada perlawanan awal bukan menjadi persoalan kepada kami. Pemain dalam keadaan bersedia dan bersemangat untuk menyingkirkan setiap pasukan yang dihadapi.
“Gugup pasti ada tetapi apa yang mereka lalui pada perlawanan pertama adalah satu pengalaman berharga dan saya yakin kami mampu meraih kemenangan pertama pada saigan itu nanti,” tegasnya.
Juara kejohanan tersebut akan membawa pulang AS$700,000 (RM2.83juta), naib juara menerima AS$200,000 (RM809,499) dan tempat ketiga menerima AS$100,000 (RM404,749) manakala tempat keempat menerima AS$40,000 (RM161, 899)
Peserta akhir dalam saingan ini adalah Aerowolf Limax dari Indonesia; RRQ AThena, Secret Jin, POWER888 KPS (Thailand); Klas Digital Athletic, Futbolist (Turki); Nova Esports (China); Abrupt Slayers (Nepal); A7 eSports (Brazil); ZEUS ESPORT (Mongolia); Natus Vincere (Rusia); A1 eSports (Bangladesh) dan Konina Power (Commonwealth of Independent States).