fbpx

RM84,290 lesap ditipu ejen pinjaman wang tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Seorang wanita berusia 32 tahun berputih mata selepas kerugian RM84,290 akibat ditipu seorang individu menyamar ejen sebuah syarikat pemberi pinjam wang, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar memberitahu, mangsa yang masih bujang serta berasal dari Kulim dekat sini mengenali dan berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Suspek memperkenalkan dirinya sebagai Bryan Leong yang mengaku sebagai ejen syarikat pemberi pinjam wang dengan menawarkan pinjaman wang mudah lulus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini,

Katanya, mangsa yang terdesak mahu mendapatkan pinjaman wang kemudian bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM15,000.

“Suspek pada masa sama menjanjikan kelulusan segera bagi pinjaman tersebut dan meminta mangsa membuat pelbagai bayaran jika mahu mendapatkan pinjaman itu.

“Antaranya adalah bayaran insurans, membuka fail, bayaran percubaan pinjaman serta bayaran sistem pinjaman,” ujarnya.

Menurut Elias, atas dasar percaya, mangsa kemudian membuat pemindahan wang sebanyak 38 transaksi melibatkan 11 akaun bank yang diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan wang RM84,290.

“Mangsa yang bekerja sendiri membuat pinjaman wang daripada ahli keluarga untuk menyerahkan wang berkenaan kepada suspek,” jelasnya.

Tambahnya, penipuan itu mula disedari mangsa apabila suspek memintanya membuat beberapa bayaran lain termasuk bayaran sejumlah wang lagi jika mahu membatalkan pinjaman.

“Mangsa yang berasa curiga dan mengesyaki ditipu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Lunas pada semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI