PETALING JAYA – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mencuri rokok, menceroboh dan melakukan khianat dengan membakar lori di Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang minggu lalu.
Tertuduh Muhammad Hazim Zawadod, 31, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah dan Hakim Faiz Dziyauddin.
Di hadapan Majistret Zhafran Rahim, tertuduh didakwa atas dua pertuduhan iaitu mencuri barang-barang kes iaitu tiga karton rokok pelbagai jenama serta dua kotak besar rokok serta tembakau dan melakukan pencerobohan jenayah.
Bagi kesalahan mencuri tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memeperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara bagi kesalahan menceroboh lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa di lakukan di Kawasan Tempat Simpanan Barang Kes IPD Serdang di sini masing-masing pukul 5.30 petang dan 10.19 malam pada 18 Januari lalu.
Dalam pada itu, di hadapan Hakim Faiz tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api dengan niat hendak membinasakan kawasan tempat penyimpanan milik IPD itu.
Tertuduh didakwa membakar tiga buah lori yang mengandungi pelbagai jenis rokok, enam buah kereta dan 13 buah motosikal pada tempat dan tarikh yang sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Sebutan semula semua kes ditetapkan pada 2 April 2021.-K! ONLINE