MANJUNG – Kontraktor yang terbabit dalam isu tular hingga mengakibatkan kawasan alur air bermusim dekat Hutan Simpan Segari Melintang rosak teruk sebagaimana dilaporkan media baru-baru ini sudah memulakan kerja pemulihan di kawasan berkenaan.
Difahamkan kerja penambahbaikan dan pemulihan kawasan berkenaan yang tercemar akibat pembangunan kuari sudah pun mencapai tahap 20 peratus.
Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, kerja pemulihan dan pemuliharaan penanaman rumput serta pokok dari jenis meranti temak nipis bagi mengurangkan impak hakisan dan mendapan.
“Penyelenggaraan telah dimulakan pada Khamis lalu dan setakat ini, ada 40 pokok serta rumput sudah ditanam di kawasan ini.
“Untuk peringkat awal, memang kita arahkan kepada syarikat lakukan pemulihan serta-merta di bahagian bawah yang nampak paling kritikal terlebih dahulu bagi mengelak berlakunya keadaan lebih teruk seperti pencemaran air.
“Di bahagian atas masih banyak perlu dilakukan dan itu akan mengambil masa, pihak syarikat bagaimanapun diberi tempoh dua minggu untuk menyelesaikannya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja pemulihan di kawasan itu hari ini.
Mohamed Zin berkata, kerja pemulihan yang ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor terbabit itu dijangka membabitkan tiga fasa iaitu pembaikan saluran air, cerun dan tanah yang dipantau oleh pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Beliau berkata, pihaknya juga tidak akan memperbaharui permit dan lesen kontraktor terbabit sekiranya kerja pemulihan tidak mencapai piawaian dan pelan pemulihan ditetapkan JAS.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Datuk Ir. Dr. Ahmad Anuar Othman berkata, kemusnahan kawasan yang disebut sebagai Air Terjun Tanjung Batu itu merupakan alur air bermusim dan air terjunnya muncul pada ketika musim hujan sahaja. – K! ONLINE