fbpx

Kantoi bawa rokok seludup di SJR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chang Hook (dua, kanan) menunjukkan sebahagian daripada rokok seludup yang dirampas yang dianggarkan bernilai RM70,000 pada sidang akhbar di IPD Jempol di sini tadi.

JEMPOL – Baru empat hari sekatan jalan raya (SJR) ketiga didirikan di daerah ini, sebuah lori yang membawa rokok seludup bernilai RM70,000 berjaya digagalkan polis dalam SJR Taman Sornam dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, sepasukan pegawai dan anggota berjaya mengesan kesalahan berkenaan pada pukul 1.30 petang susulan gelagat pemandu lori berusia 25 tahun berkenaan yang agak resah serta mencurigakan semasa pemeriksaan dilakukan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan berjaya menemui 28 kotak rokok seludup pelbagai jenama dengan setiap satu kotak berisi 50 karton rokok untuk di hantar di Jalan Angkasa 7, Bahau.

“Suspek yang berasal dari Kulai, Johor itu mendakwa baru dua bulan bekerja dengan bayaran gaji secara tunai sebanyak RM270 bagi setiap penghantaran. Malah, dia menyatakan tidak pernah bertemu dengan majikannya itu dan bekerja setelah melihat tawaran pekerjaan di WeChat.

“Modus operandi sindiket rokok seludup ini ialah hanya berhubung melalui dua buah talefon bimbit yang diberikan bos dan suspek akan diarahkan untuk meletakkan lori di beberapa tempat dengan kunci ditinggalkan di dalam lori,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di sini tadi.

Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini ditahan reman bermula hari ini hingga 29 Januari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI