SEREMBAN – Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) menafikan barangan kemas milik pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban hilang.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datin Dr Harlina Abdul Rashid berkata, barangan berkenaan berada dalam simpanan pihak hospital dengan selamat.
Menurutnya, semua set barang kemas telah pun dikembalikan kepada waris pada petang tadi kira-kira pukul 4.30 petang.
“JKNNS ingin merujuk kepada isu yang tular di media sebelum ini berhubung dakwaan kehilangan barang kemas dan mayat tertukar.
“Pihak hospital telah mengambil maklum mengenai isu berkenaan dan siasatan telah dijalankan serta merta berhubung isu berkenaan membabitkan waris pesakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Harlina berkata, jenazah mendiang juga telah selamat diserahkan kepada waris pada hari Isnin pukul 9.30 pagi setelah proses pengecaman mayat dilakukan di Jabatan Forensik, HTJ.
Malah menurutnya, perjumpaan bersama ahli keluarga mendiang juga telah diadakan pada hari ini bagi menjelaskan situasi yang telah berlaku dan pihak waris juga berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.
Sebuah portal hari ini melaporkan bahawa seorang lelaki yang merupakan anak pesakit Covid-19 membuat laporan polis semalam selepas terkejut satu set barangan kemas yang dipakai ibunya lesap dalam kejadian di HTJ.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim ketika dihubungi menyatakan ada menerima laporan berhubung kes berkenaan dan kes masih dalam siasatan. – K! ONLINE