PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengoptimumkan kapasiti makmal sedia ada terutamanya di jabatan kerajaan dan universiti awam bagi pengujian dan pengesanan Covid-19 secara berskala besar.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, di samping itu, bangunan kerajaan yang sesuai akan dikenal pasti di negeri atau daerah sebagai pusat pengambilan ujian calitan.
Menurutnya, mobilisasi aset seperti kenderaan juga akan diselaraskan untuk perkhidmatan kesihatan umum agar lebih bersepadu dan teratur.
“Sumber perubatan seperti peralatan, peralatan pelindungan diri (PPE), ubat-ubatan pula akan dimobilisasikan mengikut keperluan hospital terutamanya bagi perkhidmatan kesihatan umum.
“Ini termasuklah memobilisasikan anggota perubatan seperti jururawat dari hospital swasta khususnya yang mempunyai kepakaran tertentu untuk bertugas sementara di hospital awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, sehingga semalam, terdapat 210 hospital swasta berlesen dengan 129 daripadanya menawarkan perkhidmatan pesakit dalam (inpatient) bagi bidang Perubatan Dalaman (internal medicine).
Ujarnya, daripada jumlah tersebut, 96 hospital swasta bersetuju untuk menyediakan rawatan Covid-19 dengan jumlah katil setakat ini adalah 1,252 katil, 65 katil Unit Rawatan Rapi dan 54 mesin ventilator.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, seperti yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berhubung Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan integrasi Perkhidmatan Hospital Sektor Awam dan Swasta dalam tempoh darurat.
“Pendekatan utama yang dikenal pasti dengan meletakkan hospital awam (hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), hospital universiti awam dan hospital angkatan tentera) serta hospital swasta di bawah pengoperasian secara hibrid.
“Ia berdasarkan konsep Hospital Kluster di bawah Pusat Kawalan Covid-19 Bersepadu yang akan beroperasi untuk merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 mengikut arahan yang akan dikeluarkan oleh KKM,” katanya. – K! ONLINE