AGENSI naungan Han So-hee berkongsi perkembangan terkini tentang keadaan kesihatan aktres itu selepas dia dikejarkan ke wad kecemasan selepas jatuh pengsan di set penggambaran baru-baru ini.
Pada 22 Januari lalu, Sports Chosun melaporkan bahawa So-hee jatuh pengsan ketika penggambaran drama terbaharunya Undercover sedang berjalan.
Menurut sumber yang berada di lokasi kejadian, So-hee pengsan kerana mengalami kecederaan ringan selain keletihan.
Keesokan harinya selepas So-hee dimasukkan ke hospital, agensi 9ato Entertainment mengesahkan perkara berkenaan, namun meminta peminat bertenang kerana dia hanya mengalami kecederaan ringan.
“Dia mengalami sedikit kecelakaan ringan ketika menjalani penggambaran untuk babak aksi.
“Demi keselamatannya, penggambaran dihentikan serta-merta dan dia dibawa ke hospital untuk menerima rawatan,” ujar agensi berkenaan.