JOHOR BAHRU – Isu gelandangan di bandar raya ini yang semakin meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan dilihat sukar ditangani secara menyeluruh dan memerlukan masa bagi mengatasinya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail berkata, bagi mencapai hasrat itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan akan membantu mereka supaya tidak berterusan hidup melarat dan terbiar di jalanan.
Katanya, golongan gelandangan di ibu kota ini dilihat muncul semula dan bertambah selepas PKP 2.0 dilaksanakan mulai 13 Januari lalu.
“JKM kena sentiasa santuni golongan ini dan membuat pemeriksaan latar belakang terhadap mereka. Sekiranya mereka mempunyai waris, kita akan serahkan kepada waris mereka manakala bagi yang tidak ada pula barulah diletakkan ke rumah perlindungan JKM.
“Kita juga bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat akan membantu mereka mencarikan pekerjaan. Usaha ini akan dibuat secara berterusan hingga bebas gelandangan.
“Bagi mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal pula, kita akan tempatkan di Anjung Singgah di sini untuk sementara. Tidak dinafikan ada yang tinggal sekejap sahaja di Angguh Singgah sebelum kembali ke jalanan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan daripada pihak NGO dan kedai makanan termasuk individu kepada gelandangan di sini hari ini.
Beliau berkata, semasa PKP pertama pada tahun lalu, 250 gelandangan yang berkeliaran di bandar raya ini ditempatkan di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai, Kulai dan mereka semua sudah pun dihantar pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
Zaiton memberitahu, seramai 237 individu telah didaftarkan untuk menerima makanan di tempat khas yang disediakan oleh pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Dataran Tun Sri Lanang, Jalan Ibrahim, di sini.
Katanya, daripada jumlah itu, 77 individu adalah orang tiada tempat tinggal iaitu gelandangan manakala 160 orang daripada mereka mempunyai kediaman dan tempat tinggal namun berdepan dengan masalah kewangan disebabkan penularan wabak pandemik Covid-19.
“Ketika ini hanya terdapat 77 gelandangan di sekitar bandar raya ini dan kebanyakannya adalah mereka yang datang dari luar negeri. Kita tidak boleh dekat kemasukan mereka yang cuba mencari rezeki di sini.
“Bagi golongan gelandangan berkeluarga, mereka telah dihantar pulang ke pangkuan keluarga dan setakat ini seramai 11 keluarga yang telah dibantu,” katanya. -K! ONLINE