KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan.
Semakan itu berhubung tindakan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat.
Anwar, selaku pemohon memfailkan permohonan itu semalam menerusi Tetuan Karpal Singh & Co. dengan menamakan Muhyiddin dan kerajaan masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Menerusi satu kenyataan hari ini, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Anwar berkata, apa yang dicabar dalam permohonan itu bukanlah pengisytiharan darurat.
“Tetapi keputusan Perdana Menteri melalui Jemaah Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi meluluskan kaedah 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat tersebut. Nasihat Perdana Menteri itu dikatakan bertentangan dengan undang-undang,” katanya.
Justeru, antara relif yang dipohon adalah satu deklarasi daripada mahkamah bahawa nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen dalam tempoh darurat diisytiharkan baru-baru ini bertentangan undang-undang dan tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan. – K! ONLINE