LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memberi bayangan bahawa pasukannya akan turun menentang Southampton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok tanpa kelibat kapten, Pierre-Emerick Aubameyang kerana memiliki masalah peribadi.
Sebagai rekod, Aubameyang tiada dalam skuad utama The Gunners ketika menyaksikan mereka tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas 0-1 kepada Southampton di Stadium St. Mary, Sabtu lepas.
Kata Arteta, penyerang antarabangsa Gabon itu diberikan pelepasan untuk menguruskan hal peribadinya dan belum diketahui bila penyerang itu akan sedia kembali menjalani latihan bersama pasukan.
“Dia (Aubameyang) ada masalah peribadi yang perlu diberi perhatian dan diselesaikan terlebih dahulu. Kelab sentiasa terbuka dan menyokong apa sahaja yang dibuat oleh Aubameyang.
“Kami akan memberikannya masa sebelum dia dapat kembali bersama pasukan. Justeru, dia tidak akan diturunkan pada aksi menentang Southampton nanti,” kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.
Dalam perkembangan sama, Arteta mengakui jadual menentang Southampton pada aksi EPL esok adalah sesuatu yang agak janggal memandangkan mereka baru bersaing pada kempen Piala FA dengan kedua-dua perlawanan dilangsungkan di gelanggang lawan.
“Saya percaya tiada siapa yang suka untuk bersaing dengan lawan yang sama dalam tempoh empat hari. Bagaimanapun, inilah lumrah bola sepak dan saya mahu pemain bangkit serta bersedia untuk memastikan kami dapat kembali di landasan kemenangan,” katanya. – AGENSI