KEMAMAN – Maritim Malaysia (APMM) melakukan khidmat bantuan terhadap seorang kru kapal yang diserang strok sewaktu kapalnya sedang bersauh berhampiran Pelabuhan Kemaman dekat sini hari ini.
Kru kapal MV Berkat Tenang, Daud Mohd. Yassin, 73, dilaporkan terkena serangan strok ketika sedang melakukan kerja-kerja rutin di atas kapal tersebut pada pukul 9 pagi.
Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, pihaknya telah dihubungi untuk dimaklumkan kejadian itu pada pukul 9.45 pagi.
“Sebuah bot Kilat 27 telah digerakkan untuk melakukan bantuan kerja pemindahan pesakit terbabit dari Zon Maritim Kemaman dekat sini.
“Begitupun, kerja pemindahan pesakit dari kapal ke bot Kilat 27 tidak dapat dilakukan kerana ombak besar,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, Muhammad Suffi memberitahu, kapal MV Berkat Tenang kemudiannya diarahkan memasuki Pelabuhan Kemaman dengan diiringi bot Kilat 27 berkenaan.
Tambah beliau, sebaik tiba di jeti pelabuhan, anggota APMM bertugas telah melakukan rawatan awal kepada pesakit, Daud sebelum menghantarnya ke Hospital Kemaman.
“Pesakit (Daud) telah tiba di hospital itu untuk rawatan lanjut pada pukul 11 pagi dan keadaannya kini dilaporkan stabil,” katanya. – K! ONLINE