PUTRAJAYA – Seramai 1,134 ahli Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan 396 ahli Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) akan menerima bayaran pendahuluan RM500 setiap seorang pada 29 Januari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata,
agihan royalti pertama melalui Unlogged Performance Allocation (UPA) membabitkan kos RM11,788,347.18.
Katanya, keputusan berhubung status agihan royalti tertunggak ahli RPM dan PRISM dipersetujui pada mesyuarat yang diadakan 9 Disember tahun lalu.
“Mesyuarat tersebut dihadiri RPM, PRISM, badan pelesenan RPM dan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) selaku pelikuidasi kepada tadbir urus PRISM telah bersetuju untuk melaksanakan agihan royalti secara bayaran pendahuluan melalui Unlogged Performance Allocation (UPA) pada Januari ini.
“Jumlah agihan royalti tertunggak sebanyak RM11,788,347.18 akan diagihkan sebahagiannya secara permulaan melalui kaedah UPA kepada ahli RPM dan PRISM yang layak dengan nilai sebanyak RM500 seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar secara maya di Facebook KPDNHEP mengenai pembayaran wang pendahuluan royalti muzik RM500 kepada ahli RPM dan PRISM, hari ini.
Sementara itu, Rosol berkata, bayaran kedua pula akan dilakukan selewat-lewatnya sebelum April selepas segala butiran bukti disahkan mengikut prosedur yang digariskan.
“Mereka akan menerima bayaran pendahuluan ini sebelum baki agihan tersebut diagihkan mengikut jumlah pelaporan penggunaan lagu (usage report),” katanya.
Rosol berkata, pihak kementerian dan MyIPO berharap bayaran permulaan itu dapat membantu penggiat seni tanah air dalam menghadapi situasi pandemik Covid19 kini yang sedikit sebanyak memberi tekanan dan kesan hebat kepada ekonomi dan industri kreatif negara.
Bagi ahli-ahli yang tidak tersenarai dalam senarai penerima layak menerima agihan royalti diminta untuk menghubungi Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) Wilayah Kuala Lumpur melalui talian 03-2618 3000 (sambungan 2246) untuk mengemukakan dokumen berkaitan untuk semakan dan pengesahan. – K! ONLINE