MELAKA – Seorang wanita berputih mata selepas wang wasiat tinggalan keluarganya bernilai lebih RM2 juta lebur akibat terpedaya dengan seorang individu menyamar polis berpangkat Datuk, awal bulan ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, kejadian berlaku selepas mangsa yang berusia 49 tahun dihubungi individu tidak dikenali pada 10 Januari lalu.
Katanya, pemanggil memperkenalkan diri sebagai pegawai polis berpangkat Datuk dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan memaklumkan kononnya mangsa terlibat dengan aktiviti penjualan dadah serta penggubahan wang haram.
“Suspek juga telah menghantar gambar melalui aplikasi WhatsApp wanita berkenaan menunjukkan waran tangkap dan surat pembekuan aset miliknya.
“Mangsa yang ketakutan telah memberikan butiran akaun bank dan nombor kata laluan sekali guna (OTP) kepada suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jelasnya, mangsa yang mula curiga kemudiannya telah merujuk perkara tersebut kepada pihak bank dan dimaklumkan terdapat 164 kali transaksi pindahan wang dilakukan melalui aplikasi DuitNow berjumlah RM2,082,736.91 kepada 16 akaun berbeza.
“Mangsa yang menyedari telah ditipu kemudian membuat laporan polis dan menyatakan bahawa kesemua wang yang dipindahkan merupakan wang simpanannya dan wang wasiat peninggalan keluarga.
“Hasil semakan pihak polis menerusi http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ mendapati nombor telefon 014-7410772 yang digunakan suspek terlibat dengan 13 laporan lain menggunakan modus operandi yang sama,” katanya.
Ujarnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan individu yang menyamar sebagai pihak polis atau sebagainya.
“Orang ramai boleh menyemak melalui laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID’ di aplikasi Playstore supaya dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya. – K! ONLINE