BENTONG – Tahap pematuhan orang ramai dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang mula dilaksanakan pada 22 Januari lalu di negeri ini amat baik iaitu pada kadar 97 peratus.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sehingga kini tiada tangkapan dilakukan oleh pihak polis terhadap individu yang didapati melanggar peraturan dan SOP ditetapkan.
“Jumlah kompaun yang dikenakan kepada individu di Pahang setakat ini adalah melibatkan 19 orang dan sebanyak lima premis dikompaun.
“Saya percaya ini (pematuhan lebih baik) kerana kita bukannya baru dalam menghadapi PKP kerana sebelum ini kita pernah merasa PKP,” katanya selepas meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Bentong di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh dan Ketua Polis daerah, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar.
Menurut Mohd. Yusri, pada masa ini terdapat 34 SJR dilaksanakan di negeri Pahang melibatkan 695 petugas yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Katanya, setakat ini jumlah permit harian rentas negeri dan daerah yang telah diluluskan adalah sebanyak 2,263 permit daripada 2,348 permohonan. – K! ONLINE