SEOUL, Korea Selatan – Sepasukan penyelidik telah membangunkan terapi gen untuk ‘meremajakan ‘ kulit manusia sekali gus ‘mengubah fenomena penuaan’.
Portal berita RT mewawancara ketua saintis penyelidikan itu, Profesor Kwang-Hyun Cho berhubung kejayaan mengejutkan tersebut baru-baru ini.
Pasukan saintis dari Institut Sains dan Teknologi Lanjutan Korea (KAIST) telah menemui cara untuk menjadikan sel kulit ‘tumbuh menjadi lebih muda’.
Mereka mendakwa bahawa teknik asal itu boleh digunakan untuk ‘mengubah proses penuaan, mencegah penyakit berkaitan penuaan serta melanjutkan jangka hayat manusia.’
Bercakap kepada RT dari Universiti KAIST, Hyun Cho berkata, beliau melihat sendiri fenomena tersebut di dalam makmal dan menganggapnya sebagai dramatik. Menurutnya, teknik baru itu boleh juga diaplikasikan pada seluruh tubuh manusia.
Kata Hyun Cho, teknik itu menggunakan bahan kimia dan gen untuk ‘mematikan’ sejenis molekul yang menyebabkan sel menjadi tua. Penuaan sel dinamakan kesenesenan sel. Pasukan penyelidik itu berupaya ‘menghidupkan’ sel kulit di dalam makmal dan memulihkan keremajaan sel. Sel remaja tersebut turut membiak menjadi sel baharu lain.
Hasilnya membolehkan tisu kulit kembali muda dan sihat tanpa kedutan. – AFP