LONDON – Chelsea mungkin akan membuat keputusan untuk melantik Pengurus Leicester, Brendan Rodgers jika terpaksa memecat Frank Lampard yang gagal meningkatkan prestasi pasukan itu.
Rodgers dilaporkan sangat teruja dengan perkembangan tersebut tetapi hanya akan membuat keputusan mengenai masa depannya pada musim panas nanti.
Pemilik Chelsea, Roman Abramovich merupakan peminat Lampard tetapi terpaksa memecatnya jika pasukan itu terus gagal mempamerkan aksi terbaik.
Lima kekalahan daripada lapan perlawanan termasuk tewas 0-2 kepada Leicester sebelum ini menyebabkan Abramovic mungkin terpaksa mengetepikan sentimennya terhadap Lampard.
Selepas mengeluarkan perbelanjaan sebanyak £200 juta (RM1.1 bilion) pada musim panas lalu untuk mendapatkan pemain baharu, ahli lembaga pengarah kelab itu dikatakan tidak berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan ketika Chelsea berdepan kemungkinan terkeluar dari saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Bagaimanapun, Lampard mengakui tekanan itu tidak membuatkannya hilang fokus terhadap matlamat utama untuk menjadikan Chelsea sebuah pasukan yang mampu mencabar kejuaraan.
“Saya adalah pengurus dan peminat Chelsea. Semua orang berminat untuk bercakap mengenai peluang yang dimiliki oleh pasukan ini.
“Kami terpaksa mengharungi detik sukar ini dan saya masih tidak ada masalah untuk menyarung jersi pasukan Chelsea dengan penuh rasa bangga.
“Saya mahu meraih kejayaan dengan pasukan ini. Apabila kami melalui perlawanan tanpa menang, saya akan mencari jawapan dan jalan penyelesaiannya. Saya akan terus berjuang.
“Saya mengharapkan sesuatu daripada pemain di atas padang. Tekanan ini bukanlah suatu yang teruk kerana ia memberikan kami perspektif yang lebih baik untuk aksi selepas ini,” ujarnya. – AGENSI