fbpx

Redah hutan 15km cari talian internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zharienne membonceng motosikal yang ditunggang ibunya.

SEGAMAT – Dua penuntut institusi pengajian tinggi yang menetap di Kampung Kemidak dan Kampung Selai, Bekok di sini terpaksa berulang-alik ke kampung bersebelahan untuk mendapatkan capaian internet sejak tahun lalu.

Mereka ialah Zharienne Ramli, 19, pelajar pradiploma jurusan pengurusan perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Segamat dan seorang penuntut Institut Perguruan Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang, Afiza Eliana Jali, 19.

Zharienne berkata, setiap hari dia berulang-alik dari rumahnya di Kampung Kemidak ke kebun sawit di Kampung Tamok untuk mengikuti kelas online kerana capaian internet di kediamannya lemah.

“Dalam seminggu, lima hari saya akan pergi ke kebun sawit untuk meneruskan sesi pembe­lajaran secara online. Hari Ahad hingga Khamis, waktu kelas saya bermula pukul 8 pagi hingga pukul 6 petang. Jadi saya akan keluar rumah seawal pukul 7.15 pagi.

Zharienne mengikuti kelas online di sebuah pondok di kebun sawit Kampung Tamok di Segamat baru-baru ini.

“Malah, pada hari-hari ter­tentu, saya terpaksa pergi ke kebun sawit apabila ada pensyarah mengadakan kelas online pada waktu malam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Zharienne dibawa ke kebun sawit oleh ibu bapanya, Ramli Julai, 46, dan Zurina Jita, 41, secara bergilir-gilir dengan menaiki motosikal dan menemaninya ketika belajar.

Mereka perlu meredah kawasan hutan yang sunyi dan mengambil masa kira-kira 20 minit sejauh kira-kira 15 kilo­meter (km) dari rumah.

“Saya juga tidak mempu­nyai komputer riba dan terpaksa meminjam daripada pak cik, tetapi jika dia mahu menggunakan komputer, saya bergantung sepenuhnya kepada telefon bimbit,” ujar Zharienne.

Sementara itu, Afiza berkata, dia pula terpaksa berulang-alik lima hari seminggu ke rumah sepupunya di Kampung Kudung di sini bagi mendapatkan ca­paian internet.

“Saya akan keluar dari rumah pukul 7.20 pagi dan pulang pukul 5 petang. Saya juga tumpang makan di rumah sepupu.

“Walaupun sepupu sendiri, tetapi saya tetap malu dan tidak selesa menumpang di rumah­nya setiap hari, namun terpaksa kerana tidak mahu terlepas kelas online,” ujarnya.

Penuntut semester dua jurusan Bahasa Melayu, Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan itu berkata, dia hanya berharap kemudahan capaian internet yang lebih baik disediakan di kampungnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI