PETALING JAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah meluahkan kesedihannya sempena genap setahun negara berdepan dengan wabak pandemik Covid-19.
Bagaimanapun beliau berkata, semua rakyat negara ini perlu terus cekal memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan negara daripada wabak tersebut.
“Menyedihkan bagi saya hari ini apabila kita telah bertahan selama setahun melawan Covid-19. Penghujungnya juga masih belum kelihatan. Namun, walaupun keletihan mental dan fizikal, kita semua perlu terus maju.
“Tidak kira siapapun anda, harus memikul tanggungjawab ini demi menyelamatkan negara ini bersama,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau turut menasihatkan agar orang ramai kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Patuhi SOP, pakai pelitup muka dengan betul, cuci tangan dan jaga penjarakan fizikal. Duduk di rumah sekiranya anda tidak ada urusan penting di luar.
“Bersama-sama, kita dapat memutuskan rantaian Covid-19. Kita harus bersatu dan bersama-sama perjuangan akan berterusan Inshallah,” katanya. – K! ONLINE.