PUTRAJAYA – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli membuka permohonan kepada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan institut pengajian awam bagi mengemukakan permohonan pembiayaan di bawah Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) tahun ini.
Menterinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, Tabung Amanah NCTF yang ditubuhkan pada 2015 bertujuan membiayai aktiviti penyelidikan dan pembangunan, pengurusan dan pelindungan sumber, kesedaran serta usaha konservasi.
Beliau berkata, permohonan pembiayaan itu dibuka bagi memastikan Tabung Amanah NCTF lebih menjurus kepada bidang fokus dan keutamaan berkaitan hutan dan biodiversiti.
“Sejak ditubuhkan, kementerian ini telah meluluskan 41 kajian di mana 17 kajian telah selesai dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, antara fokus permohonan pembiayaan yang dikehendaki termasuk penggunaan teknologi dan pendigitalan pengurusan hutan; pemuliharaan spesies liar flora dan fauna selain harimau; kajian jumlah nilai ekonomi untuk perkhidmatan ekosistem dan pemuliharaan ekosistem tapak ekologi.
Shamsul berkata, fokus lain termasuk pengurusan dan pencalonan baharu kawasan berkepentingan biodiversiti antarabangsa seperti tapak-tapak Ramsar, Man and Biosphere (MAB) dan pengiktirafan geopark; pemuliharaan biodiversiti marin dan perikanan darat.
Menurutnya, pemohon boleh memohon pembiayaan dana sehingga jumlah maksimum iaitu RM1 juta dengan tempoh projek antara enam bulan hingga dua tahun.
“Permohonan Request for Proposal (RFP), dokumen-dokumen projek dan borang permohonan boleh diperoleh di portal NCTF (http://www.ketsa.gov.my/ms.my/biodiversiti/nctf/Pages/default.aspx) dan hendaklah dikemukakan kepada sekretariat NCTF sebelum 30 Jun 2021,” katanya.
Katanya, kementerian turut mengalu-alukan sumbangan pihak bukan kerajaan khususnya sektor swasta kepada tabung ini. – K! ONLINE