ABU DHABI – Petinju Amerika Syarikat (AS), Dustin Poirier membuktikan bahawa dia bukan individu yang sama tujuh tahun lalu apabila berjaya menumbangkan juara dunia, Conor McGregor dengan knockout pusingan kedua dalam saingan UFC 257 petang semalam.
Pada saingan tersebut, Poirier tampil dengan aksi yang cukup bertenaga pada pusingan pertama kategori lightweight itu, namun kedua-dua petinju dilihat mengambil langkah berhati-hati dengan tidak melakukan serangan berbahaya.
Pada pusingan kedua, Poirier tidak membuka ruang kepada McGregor apabila tampil dengan aksi cukup agresif dengan melepaskan sepakan kuat pada kaki kanan McGregor sebelum melakukan tumbukan padu ke muka petinju berusia 32 tahun tersebut.
Impian McGregor untuk menumbangkan Poirer dalam tempoh 60 saat sebelum ini tidak berhasil apabila dia sendiri tumbang lebih awal pada pusingan kedua.
“Sudah pasti saya sangat kecewa dengan kekalahan ini kerana saya telah melakukan persediaan yang cukup baik. Tendangan Poirer membuatkan kaki saya berdepan masalah.
“Tahniah kepada Poirer dan ini merupakan perlawanan yang cukup baik.
“Saya akan terus berlawan pada tahun ini dan meneruskan latihan seperti biasa,” kata McGregor sejurus tamat perlawanan.
Jaguh seni bela diri campuran dari Ireland tersebut pernah menewaskan Poirier dengan knockout pusingan pertama pada tahun 2014.
McGregor sebelum ini mengumumkan persaraan secara penuh tetapi kembali semula ke gelanggang.
Dia turut dikaitkan dengan pertarungan menentang ikon tinju Filipina, Manny Pacquiao sebelum pertemuan dengan Poirier disahkan. – AGENSI