PETALING JAYA – Membeli emas sama ada dalam bentuk barangan kemas atau jongkong merupakan pelaburan yang baik bagi jangka masa panjang.
Penganalisis ekonomi bebas, Dr. Baayah Baba berkata, nilai emas kebiasaannya berada pada tahap tinggi walau dalam apa juga keadaan ekonomi global.
“Simpanan lebih baik dibuat dalam bentuk emas. Pelaburan ini adalah untuk tempoh jangka masa panjang iaitu lima hingga 10 tahun. Kita tidak boleh mengharapkan keuntungan dalam masa singkat.
“Bagi saya, pelaburan berbentuk jongkong adalah lebih baik kerana ia tidak melibatkan kos upah (yang dikenakan oleh peniaga emas),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! Ahad semalam melaporkan ada dalam kalangan suri rumah memanfaatkan pengeluaran i-Sinar dengan membeli barangan kemas sebagai pelaburan masa depan.
Mereka juga bersedia menggadai semula emas tersebut sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau kematian.
Harga emas pada ketika ini adalah RM250 bagi satu gram dan dijangka meningkat sehingga RM300 satu gram pada penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, penganalisis saham dan ekonomi, Mohd. Al Adzha Johar turut berpandangan sama dengan Baayah apabila memberitahu, emas merupakan salah satu medium pelaburan yang baik buat orang ramai.
Menurut beliau, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, aliran tunai sedikit pegun disebabkan tidak ramai orang yang berani melakukan pelaburan berisiko.
Jelas beliau, berikutan itu, orang ramai membuat keputusan membuat simpanan dalam bentuk emas pada waktu instrumen lain termasuk bank memberi kadar faedah yang rendah.
“Apabila Covid-19 berakhir harga emas mungkin turun, tetapi saya percaya tidak terlalu drastik. Selepas itu mungkin akan naik semula.
“Sebagai pelabur emas, mereka perlu sentiasa peka dan tahu bila masa sesuai untuk meraih keuntungan,” katanya.
Sebagai alternatif, beliau memberitahu, suri rumah boleh juga guna wang i-Sinar untuk menambah unit amanah, simpanan Tabung Haji dan menjadi ejen jualan semula atau dropship kerana ia merupakan perniagaan yang kurang berisiko.-K! ONLINE