PETALING JAYA – Padah mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 semata-mata mahu berjumpa rakannya pada hari pertama perlaksaan, seorang lelaki warga Bangladesh didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret M.Barath menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Shahabuddin, 32, selaku selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan, Shahabuddin dipenjara sehari sekiranya gagal membayar jumlah denda itu dan tertuduh membayarnya.
Mengikut pertuduhan, Shahabuddin didakwa telah bergerak dari satu tempat ke tempat lain iaitu dari Jalan Teknologi 3/6, Kota Damansara ke suatu tempat yang lain iaitu Plaza Tol Kota Damansara di dalam kawasan tempat jangkitan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Plaza Tol Kota Damansara di sini pukul 2.10 petang pada 13 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, Shahabuddin didapati melanggar Peraturan 4 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawasan Pergerakan) 2021 yang boleh dihukum dibawah Peraturan 16(1) peraturan sama.
Hukuman bagi pertuduhan itu memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu peguam Kenny Tan Cheng Yee yang mewakili Shahabuddin memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minima dengan alasan merupakan kesalahan pertama.
“Ketika kejadian, tertuduh sedang cuti dan dalam perjalanan untuk berjumpa rakannya di Kelana Jaya. Tertuduh masih bujang dan bekerja sebagai buruh binaan,” kata peguam itu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal supaya memberi pengajaran terhadap tertuduh agar tidak melakukan sama.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh yang memandu kereta jenis Toyota Unser seorang diri telah ditahan sepasukan polis ketika melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Kota Damansara.
Tertuduh ditahan selepas dia gagal menunjukkan sebarang surat kebenaran bekerja.
Sebelum ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan PKP 2.0 untuk tempoh 14 hari bermula pukul 12.01 pada 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.
Perintah itu membabitkan tiga peringkat pelaksanaan iaitu PKP ke atas enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah. – K! ONLINE