PETALING JAYA – Hari ini genap setahun kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdepan dengan wabak Covid-19.
KKM dalam satu kenyataan berkata, kes pertama wabak itu membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.
“Sehingga hari ini, seluruh warga KKM masih lagi komited, kerja tanpa putus asa dalam menghadapi virus Covid-19 ini.
“Malaysia sudah mencapai 183,801 kes keseluruhan, sejumlah 678 orang telah meninggal dunia dan seramai 141,446 (77 peratus) orang telah sembuh daripada virus ini,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut KKM, kakitangan kementerian itu tetap terus bekerja termasuk yang sedang berjuang di hospital, PKRC, CAC dan klinik seluruh negara sekarang ini.
Justeru, KKM berharap orang ramai mendoakan agar semua barisan hadapannya diberikan kekuatan dalam menghadapi musuh yang tidak nampak itu.
“Salam takziah buat mereka yang kehilangan anggota keluarga akibat virus Covid-19 ini. Semoga Tuhan terus melindungi negara tercinta kita ini,” kata KKM. – K! ONLINE.