TAPAH – Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selang 12 jam selepas anak lekakinya menghembuskan nafas terakhir di kediaman mereka di Kampung Baru Temoh Stesen, Temoh di sini semalam.
Hasbollah Ahmad, 75, meninggal dunia pada pukul 10 malam selepas pemergian anaknya, Zulfahmi, 46, pada pukul 10.50 pagi hari yang sama.
Difahamkan, Hasbollah yang mengalami strok itu turut menghidap beberapa penyakit lain seperti darah tinggi dan kencing manis.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pada awalnya pihak polis menerima maklumat mengenai seorang lelaki berusia 46 tahun ditemui tidak sedarkan diri di luar bilik air rumahnya.
Katanya, pemeriksaan mendapati lelaki itu telah meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.
“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit menghidap penyakit kencing manis, saluran jantung tersumbat dan darah tinggi selain pernah menerima rawatan susulan di Klinik Kesihatan Kampar.
“Pemeriksaan di tubuh lelaki itu tidak menemui sebarang unsur jenayah dan dia tiada sejarah perjalanan ke lokasi lain dalam tempoh sebulan lepas,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pada sebelah malamnya pula, polis menerima maklumat kematian bapa lelaki itu pada pukul 10 malam.
Katanya, bapa mangsa disahkan meninggal dunia akibat kompilasi penyakit yang dialaminya. Kedua-dua kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -K! ONLINE.