KOTA BHARU – Seorang ahli perniagaan yang bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memukul dan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya dua minggu lalu.
Tertuduh, Datuk Razali Daud, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Tuan Ruzuaini Tuan Lah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan isterinya, Nurhaslinda Anuar, 43, untuk mengambil pisau dan membelah kepala wanita itu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Razali didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap Nurhaslinda.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh, Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 11.30 pagi pada 16 Januari lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.
Terdahulu, Shahril mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan.
Ahmad Adha dalam rayuannya memohon ikat jamin yang rendah dikenakan terhadap anak guamnya kerana tertuduh mempunyai lima orang anak dan masih menanggung seorang daripadanya yang berusia 14 tahun.
“Anak guam saya juga menanggung ibunya yang berusia 82 tahun yang sedang sakit dengan memerlukan perbelanjaan sebanyak RM3,000 sebulan untuk penjagaan kejururawatan dan ubat-ubatan.
“Selain itu, anak guam saya juga mempunyai penyakit tekanan darah tinggi dan kebimbangan melampau dalam dirinya,” katanya.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan jaminan sebanyak RM6,500 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dan tarikh 25 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.
Berdasarkan rekod, Razali sebelum ini pernah didakwa atas dua pertuduhan ugutan jenayah dengan menggunakan pistol dan mencederakan seorang wanita pada Oktober tahun lalu.
Tertuduh turut tidak mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan atas kedua-dua seksyen yang sama. – K! ONLINE.