ALOR SETAR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah mencadangkan supaya kerajaan menambah baik kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) menerusi pelaksanaan pembelajaran secara hibrid.
Pengerusinya, Asril Ariff Abdul Malik berkata, pembelajaran secara hibrid yang diperkenalkan kepada mahasiswa universiti dilihat sesuai dilaksanakan kepada pelajar sekolah.
“Pelaksanaan pembelajaran tersebut amat sesuai dengan situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan yang kita masih belum tahu bila akan berakhir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, menerusi sistem itu juga, kalangan guru dan pelajar tidak perlu bergantung kepada kelas dalam talian semata-mata.
“Proses pembelajaran secara bersemuka juga akan dijalankan mengikut masa yang sesuai,” ujarnya. – K! ONLINE.