fbpx

Biasakan kehidupan ikut norma baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MUHAMAD TARMIZE MOHD. NOR
WAKIL KOSMO! PERAK

SEKITAR awal Oktober tahun lalu, kita dikejutkan dengan satu berita mengenai seorang pesara guru yang tabiatnya suka mengu­tip pelbagai barangan terpakai sebelum dikumpul di rumahnya di Simpang Pulai, Ipoh, Perak.

Tabiat atau rutinnya setiap pagi sejak sepuluh tahun lalu itu bagaimanapun mengundang ketidakselesaan jiran ekoran isu bau dan pencemaran.

Kira-kira seminggu selepas berita itu disiarkan, Majlis Bandaraya Ipoh terus mengambil tindakan dengan mengeluarkan hampir lima tan timbunan barangan terpakai dari rumah berkenaan.

Kisah mengenai Cikgu Chung tersebut mendapat perhatian dua pimpinan utama kerajaan negeri Perak ketika itu dan tindakan segera terus diambil bagi mengenal pasti punca pesara guru tersebut bertindak di luar batasan normal penduduk.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pe­rak, Ahmad Saidi Mohamad Daud, tahap kesihatan fizikal dan mental Cikgu Chung adalah normal, sama seperti orang lain.

“Selepas pemerhatian, pakar kesihatan mendapati punca berlakunya timbunan sampah di rumah Cikgu Chung adalah di­sebabkan kebiasaan atau tabiat yang dilakukan setiap pagi iaitu mengutip barangan terpakai,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin menjelaskan, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan memberikan perkhidmatan kaunseling kepada Cikgu Chung serta memantau perkembangannya.

“Kaunseling terhadap Cikgu Chung akan diteruskan sehingga dia benar-benar pulih,” katanya.

Selepas lebih sebulan, Wan Norashikin sekali lagi ditanya mengenai perkembangan Cikgu Chung dan beliau menjawab, sesi kaunseling masih lagi berjalan dan JKM melihat perkembangan positif daripada pesara guru itu apabila tidak lagi mengumpulkan barangan terpakai di rumah.

Tinjauan Kosmo! seminggu yang lalu bagaimanapun mendapati tabiat lama Cikgu Chung sudah kembali apabila sampah kembali dilonggokkan.

Mengulas mengenai tabiat Cikgu Chung ini, Kaunselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Hafiszullah Maarof berkata, besar kemungkinan pesara guru tersebut mengalami hoarding disorder.

“Ini bermaksud wanita tersebut mengalami kesukaran untuk berpisah atau membuang bara­ngan yang tidak lagi diperlukan dan individu yang mengalami gangguan ini gemar untuk me­nyimpan barang walaupun ruang penyimpanan telah penuh.

“Dia merasakan sampah yang dikutip itu boleh digunakan semula dan sebab itu dia asyik menyimpannya di rumah,” katanya.

Katanya lagi, seseorang yang mengalami hoarding disorder ini akan merasa tidak gembira jika tidak melakukan tabiat tersebut.

“Setakat ini belum ada rawatan khas di hospital atau ubat-ubatan yang boleh diberikan kepada individu yang mengalami gangguan ini,” katanya.

Menurut Hafiszullah lagi, individu tersebut boleh dirawat de­ngan sokongan ahli keluarga dan orang sekeliling yang memberi galakan kepadanya untuk me­lakukan sesuatu tabiat atau rutin lain yang tidak menyebabkan ketidakselesaan jiran-jirannya.

“Sama juga dengan para pelajar yang terpaksa belajar di rumah buat masa ini. Kita sendiri terpaksa mengikut norma baharu untuk mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI