fbpx

BBP Seri Manjung bakal jadi destinasi pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ruangan swafoto di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung menjadilkannya BBP pertama di Malaysia menyediakan kemudahan itu.

LUMUT – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung dekat sini akan dibangunkan sebagai destinasi pelancongan terbaru di Perak.

Ketua BBP Seri Manjung, Shuib Idris berkata, ini kerana terdapat pelbagai daya tarikan yang disediakan untuk pelancong sekali gus memberi peluang orang ramai mengenali lebih dekat tugas dan peranan pasukan itu.

Katanya, antara daya tarikan disediakan termasuk ruangan untuk berswafoto yang disediakan di hadapan premis itu yang juga BBP pertama di negara ini menyediakan kemudahan itu.

Katanya, ruangan itu menggunakan bahan terbuang dihasilkan menerusi kolaborasi dengan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bagi membolehkan orang ramai berswafoto pada bila-bila masa di situ.

“Selain itu, kami juga menyediakan galeri yang menempatkan peralatan dan topi operasi yang pernah digunakan pasukan ini sejak tahun 1800-an serta sudut Laman Mata Hati menggunakan bahan terpakai,” katanya dalam program bersama pengamal media di sini hari ini.

Menurutnya, balai itu turut membina Taman Herba yang menanam kira-kira 60 spesies termasuk lemuju, tongkat ali, bunga gincu, cermin mekah, putat dan sebagainya.

Selain itu, katanya, pasukan itu juga melakukan projek pertanian dalam bandar dengan menanam pelbagai tanaman dan sayur-sayuran seperti pisang, tebu, nanas, kacang tanah, tembikai madu serta sawi, menjadikannya BBP pertama di Perak dan kedua di negara ini melaksanakan projek tersebut.

Ruangan Perkampungan Ikhtiar Hidup turut diwujudkan dalam kawasan premis itu yang mana sebelum ini sering digunakan untuk memberi pedoman dan tunjuk ajar kepada kumpulan pendaki dan penggemar aktiviti hutan, bagaimana untuk ‘hidup’ dalam hutan menggunakan bahan semula jadi.

“Balai ini juga mempunyai replika kapal yang digunakan sebagai tempat latihan penyelamatan serta simulasi tindakan boleh dilakukan ketika berada dalam gelap.

“Sebelum ini ia sering menjadi tempat latihan untuk pelbagai agensi termasuk dari luar Perak dan akan menjadi antara lokasi boleh dikunjungi pelancong,” katanya.

Shuib berkata, ketika ini pihaknya sedang bekerjasama dengan MPM bagi merealisasikan cadangan itu dan akan dilaksanakan apabila aktiviti pelancongan dibenarkan dibuka semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan nanti. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI