fbpx

Kejuaraan AFC B-19 di Uzbekistan sah dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WINDSOR mengesahkan bahawa Kejuaraan AFC B-19 di Uzbekistan, Mac depan dibatalkan atas alasan utama pandemik Covid-19 yang tidak menentu di seluruh dunia.

 

HARAPAN skuad bawah 19 tahun (B-19) negara untuk beraksi pada Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan, Mac depan tidak kesampaian selepas saingan itu dibatalkan secara rasmi hari ini.

Perkara itu disahkan oleh AFC selepas melakukan mesyuarat Ahli Jawatankuasa (Exco) hari ini.

“Keputusan untuk Kejuaraan bawah 19 dan 16 tahun yang dijadualkan berlangsung tahun ini dibatalkan dengan faktor utama adalah kerana keadaan Covid-19 yang tidak menentu.

“Bagaimanapun, tuan rumah, Uzbekistan untuk bawah 19 tahun dan Bahrain bagi bawah 16 tahun akan kekal menjadi hos untuk edisi seterusnya,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John.

Sebagai rekod, pembatalan ini sudah dijangka memandangkan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) terlebih dahulu membatalkan kejohanan Piala Dunia B-20 di Indonesia yang sepatutnya berlangsung penghujung tahun ini.

Skuad B-19 negara yang dibimbing oleh Brad Maloney diwakili oleh beberapa pemain yang memiliki potensi besar seperti Luqman Hakim Shamsudin, Hadi Fayyadh Abdul Razak, Ramadhan Saifullah Usman, Umar Hakeem Suhar, Mukhairi Ajmal dan penjaga gol Sikh Izhan Nazrel.

Berdasarkan format awal, empat pasukan terbaik pada Kejuaraan AFC B-19 bakal meraih tiket automatik ke pentas Piala Dunia B-20 dan Malaysia telah diundi dalam Kumpulan D selepas bersama tiga jaguh Asia Barat iaitu Tajikistan, Qatar dan Yemen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI