GENEVA, Switzerland – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin mengesahkan pihaknya tidak mempunyai rancangan untuk mengubah garis panduan pelitup muka fabrik yang disyorkan untuk varian baharu koronavirus.
Badan dunia itu menyatakan bahawa ia disebabkan varian baharu itu masih merebak seperti koronavirus sebelum ini.
Jerman dan Austria telah menjadikan pemakaian pelitup muka perubatan atau FFP2 sebagai syarat mandatori semasa menaiki pengangkutan awam atau berada di dalam kedai berbanding alat perlindungan muka fabrik susulan penularan varian baharu Covid-19.
Ketua teknikal Covid-19 WHO, Maria Van Kerkhove menyatakan beberapa varian baharu koronavirus mungkin meningkatkan kadar kebolehjangkitan tetapi itu mengikut kajian virus mutasi di Britain dan Afrika Selatan.
“Kami tidak ada petunjuk bahawa cara jangkitan sudah berubah. Ia masih merebak dengan cara sama,” katanya.
WHO menasihatkan bahawa pelitup muka bukan jenis perubatan dan pelitup muka fabrik boleh digunakan oleh orang awam bawah usia 60 tahun serta mereka yang tidak mempunyai masalah kesihatan.
Pada masa sama, WHO turut mengesyorkan pemakaian pelitup muka perubatan untuk petugas kesihatan di kawasan klinikal, sesiapa sahaja yang tidak berasa sihat, menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 atau suspek mahupun golongan yang disahkan positif.
Agensi itu mencadangkan pemakaian pelitup muka perubatan untuk golongan berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang ada masalah kesihatan disebabkan berdepan risiko lebih tinggi terkena jangkitan.
“Setiap negara adalah bebas untuk membuat keputusan sendiri mengikut pertimbangan masing-masing.
“Kami akan terus mencari bukti tetapi berdasarkan data yang dilihat dari negara-negara ada varian baharu ini, tidak ada perubahan cara transmisi jangkitan,” jelas Kerkhove.
Katanya, WHO akan membuat perubahan jika mengesan ada perkembangan terkini.
Kerkhove menyatakan pelitup muka fabrik harus mengandungi tiga lapisan untuk memberi perlindungan yang diperlukan. – AFP