KINABATANGAN – Polis daerah ini mengesahkan punca kematian gajah Pigmy Borneo di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Imbak, Tongod Rabu lalu akibat tujuh tembakan menembusi otak gajah terbabit.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, ia adalah hasil bedah siasat dijalankan oleh unit Veterinar Sepilok yang menjalankan siasatan penuh ke atas bangkai haiwan terlindung itu.
“Pihak veterinar turut berjaya mengeluarkan empat butir serpihan peluru dari tengkorak gajah berkenaan dan siasatan di tempat kejadian juga mendapati bangkai gajah itu ialah gajah jenis Pigmy Borneo jantan berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun.
“Pemeriksaan juga menunjukkan hampir keseluruhan kulit gajah malang itu dilapah manakala kepala dan kaki kanan depan juga dipercayai telah dipotong,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulbaharin menyatakan gajah berkenaan dipercayai mati dalam tempoh tiga hingga empat hari sebelum ia ditemui.
Beliau berkata, pemeriksaan di kawasan sekitar kemudiannya berjaya menemukan kedua belah telinga dan kaki depan bangkai gajah kira-kira pada jarak 11 meter dari bangkai itu ditemui.
“Pemeriksaan lanjut berjaya menemui kepala gajah yang ditutup dengan daun pelepah sawit dipercayai cuba disembunyikan dan kedua-dua gading gajah masih dalam keadaan baik namun belalai sudah dipotong.
“Setakat ini, kes disiasat mengikut Seksyen 25(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.
Terdahulu, pengurus ladang berkenaan membuat laporan polis selepas menemui bangkai seekor gajah dalam kejadian pukul 8 pagi Rabu lalu.-K!ONLINE