SUNGAI PETANI – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta pihak berkuasa supaya melaksanakan langkah keselamatan sewajarnya sekiranya mahu memasang penghadang tembok konkrit.
Presidennya, Adnan Mat berkata, pemasangan penghadang bagi tujuan sekatan jalan raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mengambil kira aspek keselamatan pengguna jalan raya.
Katanya, pelaksanaan langkah keselamatan itu adalah seperti meletakkan tanda amaran dan memasang lampu di kawasan penutupan jalan berkenaan selain hebahan kepada penduduk.
“Langkah-langkah tersebut mampu mengelakkan risiko kemalangan selain memudahkan pengguna jalan raya mereka mencari jalan alternatif lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pemasangan tembok penghadang konkrit itu adalah permintaan daripada pihak polis bagi memudahkan pihak berkuasa melakukan penguatkuasaan sepanjang PKP.
“Bagaimanapun ia tidak sepatutnya menyusahkan rakyat terutama penduduk tempatan sehingga mengakibatkan kemalangan dan kecederaan,” ujarnya.
Adnan hari ini melawat Pembantu Pegawai Perubatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Mohd Asri Ismail, 43, yang parah akibat terlanggar tembok penghadang konkrit di wad HSAH.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi semalam, Mohd Asri parah apabila motosikal jenis Yamaha LC yang ditungganginya merempuh tembok penghadang jalan di Jalan Bukit Selambau-Kuala Lesong dekat sini ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya. – K! ONLINE