MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solkjaer menyelar kritikan yang dilemparkan oleh bos Liverpool, Jurgen Kloop yang menuduh The Red Devils turun dengan aksi bertahan ketika mereka terikat tanpa jaringan Isnin lalu.
United bakal berdepan Liverpool sekali lagi awal pagi esok untuk mencari slot ke pusingan kelima saingan Piala FA di Old Trafford.
Solskjaer bagaimanapun mempertahankan taktikal yang dianggap mampu mendapatkan kemenangan sambil mengakui skuadnya berjaya melakukan beberapa gerakan yang lebih berbahaya berbanding Liverpool.
“Kami sentiasa melakukan serangan setiap kali mendapatkan bola, adakalanya terlalu kerap. Kami sentiasa melakukan serangan pantas ke arah gawang mereka.
“Saya tidak faham jika ada yang mengatakan kami tidak bermain secara menyerang. Ia adalah kualiti yang kami miliki cuma kami perlu melakukannya dengan lebih baik.
“Kami cuba untuk memberikan mereka tekanan. Ia tidak mudah kerana mereka bermain dengan baik dan kekal bermain dengan cara mereka setiap kali kami cuba mendominasi serangan.
“Mereka menggunakan lima pemain tengah untuk mengekang asakan kami selain memiliki penjaga gol yang cemerlang. Apabila saya melihat semula aksi itu, saya fikir ia adalah perlawanan yang baik untuk kedua-dua pasukan,” katanya.
United merekodkan lapan kesalahan ofsaid yang mana lima daripadanya dilakukan oleh Marcus Rashford menyebabkan Solskjaer percaya persefahaman antara pemain United perlu dimantapkan lagi.
“Pemain terlalu ingin memerangkap pemain pertahanan lawan dan sudah tentu kami perlu melakukan serangan pantas.
“Cara permainan sebegitu adalah DNA kami. Apabila ada peluang kami lakukan hantaran dan meningkatkan kepantas. Beberapa larian yang dibuat mungkin tidak menjadi tetapi satu atau dua daripadanya benar-benar mencemaskan mereka,” katanya. – AGENSI