BAGI penduduk yang tinggal di kawasan sekitar Bukit Mentajam, Pulau Pinang, nama Bukit Seraya bukanlah sesuatu yang asing.
Bukit setinggi 337 meter dari aras laut itu terletak di antara Bukit Mertajam dan Bukit Kolam, berhampiran Cherok Tok Kun Bawah.
Menariknya, bukit itu menyimpan pelbagai tinggalan sejarah unik termasuk sebuah empangan dibangunkan penjajah British sekitar tahun 1950-an.
Ia dipercayai dibina untuk dijadikan kawasan tadahan air bagi kegunaan stesen kereta api di pekan Bukit Mertajam.
Bukit Seraya turut memiliki sebuah landasan kereta api lama dipercayai dibina ketika zaman Inggeris iaitu sekitar tahun 1915.
Landasan sejauh dua kilometer itu dipercayai dibangunkan bagi memudahkan kerja-kerja mengangkut hasil perlombongan besi atau emas dari puncak bukit.
Selain itu, Bukit Seraya turut terkenal dengan pelbagai kisah misteri yang masih tidak diketahui sejauh mana kebenarannya.
Salah seorang penduduk tempatan, Hafiz Iskandar Hasan, 27, berkata, rata-rata penduduk yang tinggal di sekitar Bukit Seraya mengenali kawasan tersebut sebagai berpuaka.
Ceritanya, ia disebabkan empangan tadahan air di bukit berkenaan yang sering meragut nyawa penduduk sekitarnya terutamanya pada tahun 1970 dan 1980-an.
“Kawasan empangan ini dahulu sering menjadi lokasi penduduk memancing ikan. Ketika memancing, ada antara mereka terlihat kelibat jelmaan ikan berwarna putih di permukaan air.
“Disebabkan hendak menangkap ikan berkenaan, mereka terjatuh ke dalam kolam dan mati lemas,” ujarnya ketika ditemu bual baru-baru ini.
Disebabkan kisah-kisah tersebut, penduduk kampung di sekitarnya berasa bimbang untuk meneroka Bukit Seraya sehingga ke hari ini.
Namun sejak kebelakangan ini, gambar kawasan Bukit Seraya tular di media sosial sehingga mendorong orang ramai berpusu-pusu ke sana untuk meneroka keunikannya.
Hafiz Iskandar yang bekerja sebagai pegawai khas Ahli Dewan Undangan Machang Bubuk turut berpeluang mendaki bersama 11 rakan lain Bukit Seraya baru-baru ini bagi meninjau potensi ekopelancongan di kawasan tersebut.
“Walaupun sudah menetap Cherok Tok Kun sejak kecil, ini kali pertama saya daki bukit ini. Sebaik melangkah masuk, saya dapati banyak besi landasan kereta api di kaki bukit.
“Menurut cerita jurupengiring pendakian, besi berkenaan ditinggalkan oleh mereka yang ingin mencurinya disebabkan tersesat atau diganggu makhluk halus,” ujarnya.
Sepanjang pendakian, Hafiz Iskandar turut melihat dan mengalami sendiri kejadian aneh. Salah satunya adalah kawasan sekitar pokok jenis Ceasium tree d yang bersih seperti dijaga seseorang, sedangkan ia hutan simpan tidak berpenghuni.
Sewaktu perjalanan menuruni bukit, Hafiz Iskandar bersama kumpulan pendakiannya melalui satu pengalaman menyeramkan apabila terdengar suara sekumpulan manusia bermandi-manda.
Dia memaklumkan, mereka percaya suara tersebut datang dari kawasan Air Terjun Tok Janggut yang terletak di bukit berkenaan dan suara berkenaan semakin jelas kedengaran apabila mereka menghampirnya.
Katanya, sebaik tiba di kawasan air terjun tersebut, mereka terkejut apabila tiada seorang pun di situ, malah kelibat atau kesan tapak kaki manusia juga tidak kelihatan.
“Kami semua terpaku dengan bulu roma meremang selepas mendapati air terjun itu tidak ada sesiapa. Saya fikir suara itu datang daripada makhluk lain yang tidak nampak,” ujarnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Bukit Seraya kian menjadi tumpuan ramai untuk melihat peninggalan sejarah, selain menikmati keindahan kawasan sekitarnya.
Disebabkan keghairahan itu, hampir setiap bulan pasti ada sahaja individu yang tersesat.
Cerita Hafiz Iskandar, penduduk kampung percaya mangsa tersesat masuk ke laluan perangkap yang dibuat bunian Bukit Seraya atau digelar sebagai hantu pari.
“Kami percaya, mereka sesat disebabkan oleh perbuatan bunian atau hantu pari. Hantu ini dikatakan menjelma menyerupai wanita cantik dan dikatakan ramai terpesona dengan kecantikannya sebelum menampakkan wajah sebenar,” katanya.
Sebelum mengakhiri bicara, Hafiz Iskandar sempat menasihati orang ramai supaya tidak terlalu ghairah menerokai Bukit Seraya.
Tambahnya lagi, mereka yang ingin meneroka Bukit Seraya perlu menjaga percakapan dan mengelak daripada bercakap besar sepanjang perjalanan.
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat
di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan
kepercayaan karut atau tahyul.