fbpx

RM150 juta nilai kerosakan akibat banjir di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kawasan tempat letak kereta berhampiran Taman Kinabalu di Kundasang yang terjejas teruk akibat tanah runtuh.

RANAU – Dianggarkan kira-kira RM150 juta nilai kerosakan infrastruktur membabitkan jalan raya dan jambatan akibat tanah runtuh serta banjir di Sabah baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jumlah berkenaan turut termasuk nilai kerosakan akibat tanah runtuh melibatkan tapak letak kereta Taman Kinabalu di Kilometer 20, Jalan Ranau – Tamparuli di Kundasang yang berlaku Rabu lalu.

“Terdapat lebih 100 laluan terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di Sabah pada peringkat awalnya namun tindakan pantas Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat pembaikan, kini tinggal 17 laluan sahaja yang masih tidak boleh dilalui.

“Anggaran nilai kerosakan berikutan tanah runtuh di Kundasang ini adalah sekitar RM35 juta sehingga RM40 juta dan mungkin boleh mencecah RM150 juta jika merangkumi semua kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi tanah runtuh berhampiran Taman Kinabalu di Kundasang hari ini.
Bung Moktar berkata, kerja pembaikan akan dimulakan selepas kajian kekuatan tanah selesai manakala peruntukan untuk melaksanakan kerja pembaikan sudah ada.

Mengulas lanjut berkaitan tanah runtuh yang meranapkan tempat letak kereta berhampiran Taman Kinabalu berkenaan, Bung Moktar memaklumkan JKR negeri, pakar geologi dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri akan bekerjasama dalam menangani isu terbabit.

“Peruntukan bagi menyiapkan pembaikan juga sudah ada dan hanya tinggal untuk memulakan kerja. Kita mahu memastikan kawasan ini bukan saja selamat tetapi boleh didirikan semula sebab ini kawasan laluan penting untuk masyarakat dan pelancong.

“Kerja pembaikan boleh dimulakan sejurus kajian selesai manakala kerajaan negeri akan memohon peruntukan daripada kerajaan Pusat untuk membiayai kos pembaikan,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar berkata jambatan yang runtuh di Kampung Telaga, Pitas ketika banjir baru-baru ini sudah siap dibaiki dan penduduk boleh menggunakannya semula manakala beberapa lagi kampung di Pitas yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh masih terputus hubungan terutama di Kampung Liu.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI