BAGAN SERAI – Seorang remaja lelaki berusia 17 maut selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari di Batu 10 Jalan Kerian, Semanggol di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11 pagi itu, mangsa, J. Guhanesh yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Taiping.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan awal mendapati remaja yang menunggang motosikal jenis Suzuki FD 110KS itu sedang menghala ke arah pekan Semanggol.
“Tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai dilanggar di laluannya oleh sebuah kenderaan yang hilang kawalan dan memasuki laluan mangsa.
“Kenderaan yang melanggar mangsa bagaimanapun sehingga kini belum tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Mazuki, remaja berkenaan yang cedera parah di kepala kemudian dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di wad kecemasan pada pukul 2.30 petang.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan parah yang dialami oleh mangsa di beberapa bahagian kepala ketika terbabit dalam kemalangan itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-K!ONLINE