BANDAR RAYA MEXICO – Ramai rakyat Mexico beratur selama beberapa jam untuk membeli bekalan oksigen dalam tong untuk ahli keluarga mereka yang disahkan positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah.
Senario itu berlaku pada ketika hospital-hospital di Mexico berdepan jumlah pesakit ramai dijangkiti wabak Covid-19 dan kekurangan kemudahan katil.
Antaranya ialah Eduardo Martinez yang dilihat beratur di sebatang jalan di Bandar Raya Mexico kelmarin bagi membuat pengisian semula bekalan oksigen untuk ibunya berumur 55 tahun yang positif Covid-19.
Terdahulu, ahli biokimia berumur 33 tahun itu ada membeli tong silinder oksigen sebagai persediaan dan menggunakan wang bonus Hari Krismas untuk membiayai kos ujian pemeriksaan koronavirus ibunya.
Dua jiran Martinez sudah meninggal dunia baru-baru ini, dipercayai akibat Covid-19, semasa pemerintah menguatkuasakan perintah separa berkurung di bandar berkenaan.
“Di tempat kami tinggal, ramai orang bodoh dan ambil mudah. Mereka tidak memakai pelitup muka,” katanya.
Beberapa keluarga berulang -alik ke kedai untuk mendapatkan pengisian semula gas oksigen.
“Tong kecil tidak mencukup dan kami perlu mengisi semula empat hingga lima kali sehari pada siang dan malam.
“Di sini adalah satu-satunya tempat yang dibuka 24 jam sehari. Situasi ini amat sukar,” luah ahli psikoterapi, Viridiana Valencia berumur 31 tahun.
Bandar yang didiami seramai sembilan juta orang itu berada dalam kawalan maksimum sejak pertengahan Disember lalu, dengan lebih 90 peratus katil hospital sudah penuh disebabkan kenaikan kes secara mendadak.
Semua aktiviti tidak penting telah digantung di ibu kota Mexico, selepas negara itu mencatat lebih 26,000 mati akibat Covid-19 dan hampir 147,000 kes kematian di seluruh negara.
“Amaran, amaran, kita kini berada dalam darurat Covid,” demikian peringatan audio yang dimainkan dari sebuah kereta peronda polis.
Ileana Ruiz, 23, pula beratur untuk membeli oksigen untuk bapa saudaranya semasa lelaki itu dipindahkan ke sebuah klinik swasta dari hospital kerajaan untuk rawatan lebih baik.
“Rancangan kami ialah memindahkan bapa saudara menggunakan kereta persendirian kerana tidak ada ambulans.
“Kami menganggarkan (bekalan oksigen) boleh tahan sejam, cukup untuk kami memindahkannya,” kata pelajar perubatan itu yang perlu membayar caj 200 peso (RM40) untuk pengisian semula satu tong kecil oksigen.
Permintaan untuk oksigen meningkat lapan kali ganda sejak bulan lalu, menurut Jesus Montano dari Pejabat Pendakwa Raya Persekutuan untuk Konsumer di Mexico.
“Walaupun kerajaan menawarkan pengisian percuma di beberapa lokasi, masalah utama ialah kekurangan tong,” jelasnya.
Bagi individu senasib dengan Valencia yang ada ahli keluarga sakit di rumah, penantian semasa beratur itu satu debaran.
“Barisan terlalu panjang, setiap minit berjalan dan dia boleh kehabisan oksigen di rumah bila-bila masa,” jelasnya. – AFP