JOHOR BAHRU – Kementerian Kerja Raya meluluskan peruntukan sebanyak RM36.3 juta bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh negeri ini yang mengalami kerosakan dan jalan berlubang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, daripada peruntukan tersebut, Johor Bahru menerima sebanyak RM12.1 juta.
Ujarnya, sebahagian besar peruntukan itu digunakan bagi kerja membaik pulih Lebuhraya Pasir Gudang-Johor Bahru melibatkan kos RM10.6 juta.
“Hasil kajian forensik yang kita jalankan, ada kelemahan dari segi struktur dan pihak kementerian mengambil perhatian sangat serius terhadap prestasi kontraktor yang dibuat sebelum ini.
“Sebagai Exco Kerajaan negeri, saya menasihatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kerja Raya supaya memantau kerja-kerja penambahbaikan yang dibuat kontraktor ini. Pihak konsesi juga perlu memastikan wang kerajaan ini dibelanjakan sebaiknya.
“Kita akan mengambil rekod kontraktor yang menyiapkan kerja-kerja ini terlebih dahulu dan kita akan senaraihitamkan kontraktor yang tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan jalan di Lebuhraya Pasir Gudang-Johor Bahru, di sini hari ini.
Peruntukan penyelenggaraan Jalan Persekutuan di daerah lain ialah sebanyak RM2.74 juta bagi daerah Muar diikuti Segamat (RM2.65 juta), Pontian (RM2.6 juta), Kota Tinggi dan Tangkak (RM2.45 juta), Kluang (RM2.05 juta), Batu Pahat (RM2 juta), Kulai (RM900,000) dan Mersing (RM800,000). – K! ONLINE