BATU GAJAH – Para peniaga di pasar awam di daerah ini meluahkan perasaan lega mereka apabila pengunjung masih ramai walaupun ketika ini berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Seorang peniaga sayur, Mustafa Hamdonia berkata, dia pada awalnya risau jika pengunjung ke Pasar Awam Batu Gajah berkurang akibat PKP namun menarik nafas lega apabila orang ramai masih berkunjung untuk membeli keperluan harian.
“Saya mengurangkan bekalan sayur daripada sepuluh kilogram (kg) kepada enam kg kerana bimbang orang ramai berkurung di rumah ketika ini dan sayuran pula akan rosak jika disimpan lama.
“Tetapi jika tengok dua hari kebelakangan ini, pengunjung ke pasar ini tetap ramai dan ia petanda yang bagus buat peniaga,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Batu Gajah hari ini.
Sementara itu, peniaga ikan, Chan Yew Kong, 57, berkata, dia mengambil stok ikan dalam kadar 40 hingga 50 kg setiap hari dan berhasrat mengurangkan bekalan jika pengunjung tidak ramai.
“Nampaknya orang pun ramai datang ke pasar ini. Jadi, tak perlulah saya kurangkan bekalan ikan,” katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Mohamad Razif Ramli berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditunjukkan orang ramai ketika berkunjung ke pasar awam berkenaan.
“Kita lihat pengunjung dan peniaga masing-masing mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. Kawalan pematuhan ini akan diteruskan agensi penguatkuasaan yang lain terutamanya polis dalam usaha mencegah penularan Covid-19,” katanya selepas melakukan tinjauan di pasar tersebut. – K! ONLINE