JAKARTA – Seorang gadis warga Indonesia tular di TikTok apabila dia memiliki kumis dan janggut seakan-akan seorang lelaki dewasa, lapor portal berita Tribun News kelmarin.
Gadis bernama Nisya Fadhillah itu memberitahu, bulu pada tangan, kaki dan wajah tumbuh semakin lebat sejak dia memasuki Sekolah Menengah Pertama (SMP).
Menurut Nisya, ramai orang sering tersilap memanggilnya dengan gelaran abang kerana menyangka dia seorang lelaki.
“Ramai yang memanggil saya abang atau encik dan bukannya cik atau kakak selepas melihat ada misai serta janggut pada muka saya.
“Saya tidak memarahi mereka dan anggap perkara itu sebagai suatu yang amat melucukan,” katanya.
Mahasiswi jurusan undang-undang di Universiti Hasanuddin itu mengakui dia tidak pernah cuba untuk mencukur misai atau janggutnya kerana bimbang ia akan tumbuh dengan lebih lebat dan tebal.
Dia sudah membiasakan diri memiliki wajah bermisai dan berjanggut kerana keluarganya menganggap perkara itu sebagai kejadian normal.
Nisya menyatakan dia ada rancangan kelak untuk menggunakan teknik rawatan laser bagi membuang misai dan janggut kerana kaedah itu mampu untuk mematikan akar rambut. – Agensi