GEORGE TOWN – Pengusaha kedai gunting rambut di negeri ini merayu agar kerajaan membenarkan pembukaan semula operasi perniagaan itu ekoran tidak sanggup dibebani dengan hutang yang semakin berganda termasuk bayaran sewa bulanan premis dan gaji pekerja.
Rata-rata mereka mula menyuarakan tentang nasib yang bakal dihadapi sekiranya tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua dilanjut dalam tempoh yang lama berikutan peningkatan laporan kes positif pandemik Covid-19 di negara ini.
Khamis lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di tujuh negeri termasuk Pulau Pinang yang sebelum ini dijadualkan tamat pada Selasa sebelum dilanjutkan sehingga 4 Februari.
Seorang pengusaha gunting rambut, Ahmad Affiq Mohd., 31, berkata, ekoran arahan penutupan premis gunting rambut semasa perlaksanaan PKP 2.0, dia memilih untuk membuka semula gerai menjual roti john di hadapan premisnya di Batu Lanchang di sini.
Menurut bapa kepada seorang cahaya mata berusia dua tahun itu, dia perlu bekerja keras untuk melunaskan hutang bulanan tiga buah premis yang disewanya di Batu Lanchang, Gelugor dan Bayan Baru dengan nilai keseluruhan berjumlah RM7,000 sebulan.
“Saya perlu mencari pendapatan lebih bagi menampung tunggakan sewa premis yang belum lagi habis dibayar kepada penyewa pada tahun lalu. Tahun ini, saya sekali lagi terpaksa berdepan masalah sama yang menjadi semakin berganda.
“Sekarang ini, saya terpaksa mengeluarkan wang simpanan untuk membayar sewa premis, gaji pekerja dan lain-lain kos penyeliaan kedai,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Ahmad Affiq memberitahu, dia kini mengharapkan daripada hasil jualan roti john pada setiap hari dan keuntungan yang diperoleh digunakan untuk membayar gaji bulanan 15 pekerjanya.
“Sejak kedai ditutup minggu lalu, mereka (pekerja) datang membantu saya menjual roti john secara bergilir-gilir pada setiap hari. Mujur dengan hasil jualan yang hampir mencecah 200 biji sehari, mampu meringankan beban saya membayar gaji mereka.
“Saya kini buntu memikirkan nasib yang bakal dihadapi sekiranya PKP dilanjutkan beberapa bulan lagi dan kami masih tidak dibenarkan beroperasi,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha kecil kedai gunting rambut, Sarizal Haked, 47, pula mendakwa perniagaan di dua kedai gunting rambut yang diusahakannya di Bukit Jambul dan Bukit Gedung itu kini terjejas 100 peratus.
“Kami boleh dikatakan sudah nazak. PKP fasa pertama tahun lalu boleh bernafas lagi tetapi kali ini, memang tidak boleh bernafas langsung dan terpaksa mengunakan wang simpanan hasil perniagaan lalu.
“Dengan hutang sewa kedai sebanyak RM2,500 sebulan perlu dibayar selain kos gaji lima pekerja, bil-bil elektrik dan air di premis, sudah tentunya kami tidak mampu melangsaikan semuanya secara serentak dalam keadaan sebegini.
“Saya juga terpaksa menggunakan wang poket untuk membayar 30 peratus gaji lima pekerja dan mujur mereka memahami keadaan yang berlaku ketika ini,” jelasnya.