fbpx

Ernie, Syamel menghitung hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERNIE ZAKRI dan Syamel,

BERMULA sekadar pasangan duet menerusi sebuah program realiti, Duo Star pada 2016. Keserasian yang dipamerkan kedua-dua penyanyi itu tampak serasi dan saling ‘memberi’ antara satu sama lain.

Tuah menyebelahi mereka apabila dinobatkan sebagai juara, sekali gus mencipta fenomena tersendiri apabila peminat menyukai penyatuan vokal mereka. Selepas kejayaan dalam Duo Star 2016, Syamel dan Ernie Zakri, tidak lagi menoleh ke belakang dan terus aktif melebarkan sayap duet menerusi Aku Cinta.

Tuah sekali lagi menyebelahi mereka apabila Aku Cinta berjaya melangkah ke Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) sekali gus membawa pulang trofi Vokal Terbaik.

Bergerak dari situ juga, peminat masing-masing berasak memasang impian untuk melihat kedua-dua penyanyi itu terus bersama bukan sekadar pasangan duet, namun sebagai pasangan kekasih.

SYAMEL dan Ernie Zakri masih mencari tarikh yang sesuai untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka yang sepatutnya berlangsung pada awal tahun ini.

Mungkin dalam diam, masing-masing sudah menaruh hati, cuma umum sahaja tidak mengetahui.

Sehinggalah pada Ogos 2020 lalu, Syamel, 27, dan Ernie, 28, menamatkan spekulasi percintaan ‘rahsia terbuka’ mereka apabila mengikat tali pertunangan.

Pemilik nama lengkap Syameel Aqmal Mohd. Fodzly pernah mengakui, dia sememangnya mempunyai impian untuk menyunting Ernie menjadi isterinya.

“Alhamdilillah, saya gembira impian untuk menyunting Ernie sebagai bakal isteri akhirnya dimakbulkan. Saya gementar juga apabila mengenangkan alam pertunangan ini banyak dugaan seperti yang sering diperkatakan,” ujarnya sebelum ini.

SYAMEL tidak akan merahsiakan tarikh pernikahannya dengan Ernie dan akan membuat pengumuman jika sudah mendapat kata putus daripada keluarga kedua-dua pihak.

Tangguh pernikahan

Betul seperti yang dikata. Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan.

Menjelang hari bahagia yang dicanang sejak tahun lalu hingga sekitar awal tahun ini, kelihatannya pasangan itu terpaksa ‘bersabar’ berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dlaksanakan semula sejak 13 Januari lalu.

“Sebelum PKP lagi kami memang sudah ada perancangan. Cuma tarikh sahaja belum dapat diumumkan sebab tidak pasti dengan situasi semasa.

“Hendak dijadikan cerita tiba-tiba PKP pula. Jadi kami kena rancang semula banyak perkara. Tetapi nasib baik kami belum umumkan tarikh lagi,” katanya.

Dalam erti kata lain, buat masa ini mereka terpaksa menunda dahulu perancangan untuk menikah dalam masa terdekat dan semuanya bergantung pada situasi semasa yang sedang berlaku.

Bahkan, perancangan untuk mengikat tali pernikahan sama ada di rumah atau pun di masjid juga masih lagi dalam proses perbincangan antara kedua-dua belah pihak.

“Sebenarnya buat masa sekarang agak sukar untuk membuat keputusan sebab melibatkan banyak pihak termasuk dengan perancang perkahwinan.
“Insya-Allah jika dah ada tarikh nanti, saya akan umumkan,” kata penyanyi bersuara serak basah itu.

SYAMEL dan Ernie Zakri masih mencari tarikh yang sesuai untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka yang sepatutnya berlangsung pada awal tahun ini.

Dugaan?

Erni pula tidak menganggap apa yang berlaku sebagai dugaan.

“Sebenarnya kalau ikutkan saya tidak mahu fokus dengan perkataan dugaan. Tetapi benar, pelbagai perkara harus kami tempuhi.

“Saya dan Syamel selalu praktikkan komunikasi supaya tidak timbul salah faham. Bagi saya berinteraksi sangat penting untuk mewujudkan persefahaman walaupun kami berdua telah mengenali antara satu sama lain dalam waktu yang agak lama.

“Saya tidak boleh ubah diri saya disebabkan dia (Syamel) dan dia juga tidak boleh ubah dirinya disebabkan saya. Masing-masing perlu berkompromi antara satu sama lain,” kata juara Bintang RTM 2009 itu.

Biarpun terpaksa menangguhkan dahulu majlis pernikahan dan mencari tarikh baharu yang akan diumumkan kelak, Ernie tetap melahirkan rasa syukur kerana segala yang dirancang setakat ini berjalan dengan baik.

“Saya mahukan tema Melayu klasik sebab itu adalah tema kegemaran saya. Syamel pun sukakan tema tersebut. Sebagai orang Melayu, saya rasakan konsep itu sangat cantik.

“Saya membayangkan konsep ala-ala kesultanan Melayu. Doakan semoga impian kami tercapai,” kata pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri.

Selangkah lagi sebelum menempuh alam berumah tangga, Syamel dan Ernie juga merancang untuk mengeluarkan sebuah lagu bertemakan majlis perkahwinan, sekali gus menjadi lagu single duet baharu mereka.

Namun, semuanya masih dalam perbincangan dan sedang mengumpul material yang sesuai untuk direalisasikan.

ERNIE bersikap positif dan sabar dengan keadaan yang berlaku pada hari ini dan enggan melihat penangguhan majlis pernikahan mereka sebagai satu bentuk dugaan, sebaliknya realiti yang harus ditempuhi bersama.

Perancangan

Sekitar Disember lalu, Syamel dan Ernie juga melangkah setapak ke hadapan dengan bergelar usahawan selepas membuka sebuah kafe yang diberi nama Setable.

Alasan mereka, mahu meluaskan pengetahuan menceburkan diri dalam bidang bisnes dengan memilih perniagaan berasaskan makanan yang terletak di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.

“Sebab kami suka makan. Alhamdulillah impian untuk memiliki sebuah kafe tercapai. Sekurang-kurangnya perniagaan ini dapat memberi jaminan masa hadapan,” ujar mereka berdua.

Meneruskan kerjaya pada 2021, banyak perancangan yang telah diatur, namun semua tergantung pada situasi Covid-19 yang masih ‘menggila’.

“Antaranya untuk mengeluarkan single baharu, perkahwinan dan terjun ke bidang lakonan.

“Kalau ikutkan sudah ada beberapa projek lakonan telah menanti, namun terpaksa ditangguhkan dahului,” kata Ernie.

Besar harapan mereka agar segala yang dirancang dapat dilestarikan namun terpaksa ditangguhkan.

“Doakan Syamel dan Ernie ya,” kata mereka menutup bicara.

PASANGAN mengimpikan majlis perkahwinan bertemakan Melayu klasik seperti raja-raja zaman dahulu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI