IPOH – Tujuh beradik tidak berputus asa untuk bergilir-gilir menjaga ibu mereka sebaik mungkin selepas wanita itu hanya mampu terlantar sakit akibat serangan strok dua tahun lalu.
Mohd. Amri Mothkar, 36, berkata, kesihatan ibu mereka, Saleha Damhuri, 70, merosot sejak lima tahun lalu dan semakin serius apabila dia diserang strok selain menghidap penyakit kencing manis.
“Alhamdulillah, kami tujuh beradik masih mampu menjaga emak secara bergilir-gilir. Ditambah pula kami juga tinggal di sekitar Ipoh sahaja, jadi senang untuk kami menjenguk ibu walaupun sibuk dengan kerja masing-masing.
“Adik saya ada yang tinggal selang beberapa buah rumah dengan emak, jadi pada waktu malam dia akan menguruskan emak, manakala kakak pula akan datang pada waktu pagi serta yang lain juga akan bergilir-gilir jaga emak,” ujar anak kelima itu ketika ditemui di rumahnya di Taman Pinji Mewah di sini.
Tambah Amri yang bekerja sebagai penjawat awam, mereka adik-beradik juga akan bersepakat untuk mengambil cuti apabila ada urusan luar yang memerlukan kehadiran ibunya seperti rawatan di hospital.
Kisah Saleha mendapat perhatian daripada Persatuan Usahawan Urutan Tradisional Melayu Wanita Kinta Perak dan Penaungnya, Datuk Hamidah Osman menyampaikan sumbangan termasuk kotak makanan tajaan MyFundAction bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Kita juga akan mendapatkan bantuan kerusi roda yang baharu buatnya memandangkan kerusi roda yang diguna pakai sedia ada sudah rosak,” kata Hamidah.