LONDON – Seorang wanita tampil mempertahankan suaminya yang dilabel ganas gara-gara tindakan lelaki itu membenam kek perkahwinan mereka ke mukanya dalam klip video TikTok baru-baru ini.
Video yang memaparkan pengantin lelaki itu ‘bergurau’ dengan isterinya dimuat naik di akaun @kelsboyd3 dan mendapat lebih 2.8 juta tontonan, lapor akhbar The Daily Star, kelmarin.
Rata-rata, pengguna media sosial mengecam perbuatan menenyeh kek di muka isteri dan menganggap tindakan tersebut keterlaluan dan bukan gurauan yang melucukan.
“Selamat berjaya dengan lelaki seperti ini,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Tindakan ini sangat biadab terutama dilakukan di hadapan semua tetamu majlis,” komen seorang netizen.
Namun, pemilik akaun @kelsboyd3, dipercayai pengantin wanita, menafikan kritikan terhadap suaminya dan berkata, tindakan membenam kek adalah gurauan biasa antara mereka berdua.
“Maaf jika anda tidak merasakan video ini melucukan tetapi inilah cara kami bergurau.
“Sebiji kek tidak akan mencederakan sesiapa,” tulisnya lagi. – Agensi