PETALING JAYA – Penyanyi popular era 1990-an, Roy atau nama sebenarnya, Mohammad Rauzan Alwi dimasukkan ke wad di Hospital Banting tengah malam tadi akibat sesak nafas.
Hasil pemeriksaan, doktor memberitahu, terdapat jangkitan kuman pada paru-paru.
“Pada mulanya saya mengalami sesak nafas. Jadi, saya ke klinik swasta untuk dapatkan rawatan. Namun, doktor yang bertugas mencadangkan saya untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital berdekatan.
“Disebabkan itu, saya terus ke Hospital Banting. Saya fikir hanya sesak nafas biasa, namun hasil pemeriksaan saya dimaklumkam terdapat jangkitan kuman pada paru-paru. Saya terus dimasukkan wad untuk rawatan lanjut.
“Sekarang ini pun saya masih rasa sesak nafas. Nak bercakap banyak pun tak larat sangat. Memandangkan ia adalah jangkitan kuman, jadi perlukan rawatan segera. Cuma tidak tahu berapa lama akan ditahan,” kata penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Ratnaku itu.
Dalam pada itu, bekas anggota kumpulan rock, Lefthanded itu memberitahu, dia turut menjalani ujian saringan Covid-19.
“Semalam saya juga sudah buat ujian saringan dan masih menunggu keputusan. Kalau positif, saya akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh pula.
“Saya tidak ada sebarang penyakit kronik. Apa pun, doakan semoga saya diberikan kesembuhan segera,” katanya lagi.
Terdahulu, Roy membuat kemunculan semula dalam industri seni dengan menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim ke-6 sebelum tersingkir pada konsert minggu kelapan pada 2019. – K! ONLINE