fbpx

Perlu ada peruntukan khas bantu keluarga terkesan PdPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hassan Karim

JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan disaran untuk mendapatkan peruntukan khas bagi membantu keluarga pelajar yang terkesan bagi mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan boleh menyediakan dana itu melalui Belanjawan 2021 untuk memastikan pelaksanaan PdPR berjalan lancar di seluruh negara bagi memastikan kaedah pembelajaran tersebut mencapai objektifnya.

“Kerajaan ada duit bukannya tidak ada. Kalau tidak ada peruntukan, Menteri Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin boleh minta luluskan peruntukan khas pendidikan di Parlimen dan ahli-ahli Parlimen akan sebulat suara meluluskannya.

“Namun ketika ini Parlimen digantung, jadi macam mana ahli-ahli Parlimen mahu membincangkannya? Jika tidak, setiap Selasa dan Khamis di Parlimen kita boleh tanya atau cadangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dr. Mohd Radzi dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad.

“Peruntukan khas itu boleh digunakan untuk menampung kos perbelanjaan membeli peranti seperti komputer riba atau telefon pintar selain menyediakan kemudahan akses internet kepada pelajar terutama keluarga B40 atau M40,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan bekalan keperluan asas kepada penjaja dan meninjau sampah sarap di Sungai Tebrau, Kampung Plentong Baru di sini hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan rungutan dan keluhan ibu bapa yang berdepan kesulitan untuk membantu anak-anak mereka mengikuti PdPR semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya yang melibatkan anak yang ramai dan di kawasan capaian internet yang lemah.

Hassan memberitahu, permasalahan tersebut perlu diselesaikan oleh pihak kerajaan dan kementerian yang bertanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan bukan terus berdiam diri.

“Masalah rakyat semasa PKP bukan sahaja makan minum tetapi juga isu pendidikan. Kerajaan luluskan peruntukan RM35 juta untuk bina tiga dewan (di Pagoh) baru-baru ini walaupun kawasan itu dah ada empat dewan. Jadi tidak timbul masalah peruntukan,” katanya.

Tambahnya, pihak korporat dan swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan masing-masing juga boleh memainkan peranan membantu mengumpulkan dana menampung kos membeli peranti terutama untuk keluarga yang tidak berkemampuan.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI