fbpx

 Penderma darah turun mendadak sewaktu PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Muhaimin (kanan) mengiringi Ahmad Samsuri (tiga dari kanan) memantau perjalanan kempen derma darah di Dewan Serbaguna PPR Hiliran, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Bekalan darah untuk kegunaan pesakit di Terengganu hanya mencukupi untuk tempoh seminggu.

Ketua Unit Transfusi Darah (UTD) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Mohd. Muhaimin Kambali berkata, ia agak menggusarkan kerana pendermaan darah dalam negeri ini menunjukkan trend penurunan ketara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

“Walaupun bekalan darah di negeri ini masih belum membimbangkan tetapi ia mungkin boleh berada pada tahap kritikal sekiranya trend pendermaan darah terus merosot dalam tempoh seminggu lagi.

“Penggunaan darah untuk pesakit di seluruh hospital di Terengganu adalah 350 beg seminggu namun sejak seminggu lalu kita cuma menerima bekalan150 beg daripada penderma,” katanya kepada pemberita di Dewan Serbaguna Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memantau perjalanan kempen derma darah berkenaan.

Mohd. Muhaimin berkata, antara faktor penurunan penderma darah adalah kebimbangan masyarakat untuk tampil ke pusat darah di hospital berikutan penularan pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan UTD HSNZ telah mengambil inisiatif proaktif menganjurkan kempen derma darah di luar kawasan hospital dengan lebih kerap bagi menstabilkan semula bekalan darah.

“Selain mengikuti prosedur operasi standard (SOP) norma baharu, jumlah penderma darah juga dihadkan pada satu-satu masa di lokasi terlibat bagi menjamin keselamatan orang ramai.

“Oleh itu, individu yang sihat dan berkelayakan disaran tampil menderma darah tanpa rasa bimbang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI